Saturday, July 10, 2010

ANTARA CINTA DAN SUNNAH

Aku tergamam sebentar, mataku kaku melihat buku Kak Siti, roommateku, yang terdapat di atas mejanya,”111 WASIAT RASULULLAH SAW UNTUK WANITA SOLEHAH”. Rasulullah? Nama yang sudah janggal untukku ungkap. Entah sudah berapa kurun bibirku tidak menyebutnya. Aku juga sudah lupa apa maksud ‘SAW’. Tidak semena-mena ungkapan lagu nasyid kumpulan Hijjaz ketika aku menyertai pertandingan lagu nasyid sewaktu di sekolah rendah terngiang-ngiang di telingaku.

“Rasulullah dalam mengenangmu, kami susuri limpahan sirahmu, dan kami sanjung pengorbananmu... Engkau taburkan pengorbananmu Buat ummatmu.......

Ah, aku sudah lupa apa sambungannya. Lagu itulah yang telah menaikkan nama sekolahku. Dan paling penting ketika itu aku menjadi penyanyi solo. Bagaikan terpukau mataku terus memandang buku itu. Entah sudah berapa hari aku merenung buku itu setiap kali Kak Siti tiada. Entah apa istimewanya hingga menarik tanganku untuk mengambilnya. Kubelek-belek kemudian kubaca satu persatu isi kandungannya, masih tak kutemui bab yang menarik hatiku. Akhirnya mataku terhenti bila terbaca wasiat ke 5: Jangan buat dosa besar, nak baca tapi ada rasa secebis ketakutan.

Takut pada balasan yang bakal aku terima. Lebih-lebih lagi bab sebelumnya mengenai ketaatan kepada suami. Apakah pantas aku meletakkan perasaanku pada lelaki yang bukan suamiku? Apakah pantas aku menyerahkan sepenuh jiwaku terhadap insan yang bukan suamiku? Apakah pantas aku memberi ketaatanku pada insan yang bukan selayaknya? Kepalaku cuba membayangkan semula adegan-adegan romantis antara aku dan Syam.

Cinta pertama yang berputik gara-gara tersalah ambil beg ketika minggu suai mesra untuk pelajar tahun satu. Syam, lelaki pertama yang mengisi ruang kekosongan hatiku. Dialah insan yang banyak memberiku semangat. Dialah insan yang mengeluarkan aku dari kongkongan kisah silam yang telah menghancurkan keyakinanku. Dialah insan yang membalut luka-luka dihatiku. Dialah segalanya.......

Pertemuan kami dua hari lepas di kafe Sri Samping berulang tayang lagi. Mataku masih ingat senyuman manisnya. Tanganku masih merasai belaian tangannya. Telingaku masih ingat setiap huruf yang dilafazkan. Eh, terlalu bahagia. Terlalu indah hingga aku tidak tahu apa ayat yang harus kuungkap untuk menggambarkannya. Biarlah pertemuan itu milik kami. Aku tak ingin mengiktiraf kewujudan insan lain di kafe itu. Sekalipun aku dapat merasakan semua mata menjeling tajam ke arah kami. Ingin rasanya kuajak Syam ke tempat lain yang lebih sunyi dan jauh dari mata manusia tapi aku tak ingin mencacatkan setiap pertemuan kami.

Mujurlah Kak Siti tak pernah melihat kami bercengkerama di kafe. Peribadinya dan caranya bergaul dengan lelaki membuatku malu jika dia tahu. Rasa cemburu kadang-kadang menerpa ruang hatiku. Cemburu bagaimana dia boleh hidup tanpa boyfriend. Kadang-kadang aku ingin seperti dia tapi....eh, lupakan sahaja soalan ini. Apa yang nak dicemburukan, dia tu yang rugi sebab tak merasa betapa indahnya dunia percintaan. Dan aku selalu saja memberi alasan berjumpa untuk membuat asignment, untuk buat program. Aku tidak tahu sampai bila aku harus menipu Kak Siti. Kak Siti memang tak setuju berjumpa berdua dengan lelaki. Sudah acap kali menasihatiku. Eh, biarlah manusia mengutuk kami sebab mereka tak merasa apa yang kami rasa....!

Tapi untuk apa matlamat cintaku pada Syam? Untuk berkahwin? Soalan yang hingga kini masih tiada jawaban. Aku juga seperti wanita lain mengimpikan seseorang yang boleh membimbing aku ke jalan yang benar. Syam memang lelaki yang membahagiakan tapi aku tak pasti adakah dia boleh membimbingku. Habis tu, untuk apa? Sekadar suka-suka? Atau mengisi kekosongan duniaku? Lalu meragut kesucianku? Eh mana mungkin Syam setega itu! Aku percaya....! Tapi bagaimana pula jika nasibku seperti Ina. Kerana cinta pada Danish sanggup berkorban. Dan kerana cinta dan pengorbanan itu jugalah yang akhirnya melahirkan seorang baby sebelum sempat mereka bernikah. Bagai pembalasan, Ina dibuang keluarga. Danish pula hilang entah ke mana. Tak cukup dengan itu, Ina sekarang terpaksa berdepan dengan penyakit tibi yang berjangkit melalui Danish. Tabahkah aku jika nasibku serupa dengannya? Ya Allah, betapa besarnya pembalasan-Mu di dunia, bagaimana pula di akhirat nanti?

Aku seperti terdengar suara batinku meraung-raung kesakitan meminta untuk dikeluarkan dari penjara dosa. Dosa yang telah merantai hatiku. Dosa yang gelap dan suram. Masih adakah cahaya untukku? Tapi aku memerlukan dahan untuk berpaut. Aku memerlukan pondok untuk berteduh. Lalu kepada siapakah aku harus mengadu? Hatiku menangis lagi sekalipun zahirnya air mataku tidak jatuh.....

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...